Ng Chok Sin MCA kerajaan Selangor
Ng Chok Sin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat digesa campur tangan bagi menyesaikan masalah pencemaran sungai yang terlalu kerap berlaku ekoran kegagalan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan pemerintahan dengan baik.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu gagal mengawal pembuangan sisa dari kilang-kilang haram ke sungai sehingga menyebabkan pencemaran air dan bau di kawasan perumahan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya menggesa agar semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti supaya memberi sokongan sebulat suara terhadap pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin.

“Selain daripada mengenakan hukuman denda dan penjara yang telah dicadangkan di dalam pindaan tersebut, pihak berkuasa juga perlu memastikan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi juga dijalankan bagi menghalang pencemaran daripada bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Chok Sin mengulas laporan media semalam bahawa pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran keras untuk menghentikan sebarang pembuangan sisa ke Sungai Kabul di Kampung Bukit Batu, Beranang sementara siasatan penuh dijalankan oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Walau bagaimanapun, kata beliau, pihak berkuasa juga mengesahkan bahawa pencemaran masih berlaku dengan skala yang lebih kecil dan tidak membahayakan sekaligus membuktikan bahawa pengusaha-pengusaha kilang di sana masih berdegil dan tidak menghormati arahan serta amaran pihak berkuasa.

“Justeru, MCA Selangor mencadangkan bahawa undang-undang di peringkat Persekutuan dan negeri dipinda segera untuk memaksa pihak yang didapati bersalah menampung kos pembersihan sungai dan sumber air, yang sebelum ini ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Chok Sin menambah, sekiranya pengusaha-pengusaha kilang masih degil, pihak berkuasa wajar diberi kuasa bukan sahaja untuk menutup operasi kilang tersebut, malah bagi merampas aset dan membekukan akaun bank mereka.

Menurut beliau, langkah itu sudah tentu akan memberi tekanan kepada pengusaha kilang untuk membayar kos pembersihan tersebut.

“Ini juga akan membolehkan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa aset pesalah tidak dilepaskan, dan kilang mereka tidak boleh beroperasi sehingga siasatan selesai, dan semua unit penguatkuasaan seperti kerajaan tempatan, JAS dan LUAS berpuas hati bahawa sumber air kembali selamat untuk para pengguna,” katanya.

Chok Sin berkata, MCA Selangor amat kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak berkuasa yang menyatakan bahawa pencemaran di Sungai Kabul ‘tidak membahayakan’.

Jelas beliau, jika masalah itu gagal ditangani segera, pencemaran tersebut akan terus berlaku sehingga menyebabkan gangguan bekalan air berulang, sekaligus membebankan penduduk tempatan.

“Malah, penduduk tempatan juga telah mengesahkan bahawa kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku dan mereka sering mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sebelum ini yang menjejaskan kehidupan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette