Kenaikan harga dan cukai rokok diharap dapat dipertimbangkan dalam pembentangan Bajet 2023 esok bagi mengurangkan bilangan perokok dalam negara.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kenaikan harga dan cukai rokok diharap dapat dipertimbangkan dalam pembentangan Bajet 2023 esok bagi mengurangkan bilangan perokok dalam negara.

Harapan itu diutarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang disifatkan positif bagi negara dalam menjimatkan berbilion ringgit bagi kos penjagaan kesihatan berkaitan tembakau.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tindakan itu bertujuan mengurangkan amalan atau tabiat merokok dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya golongan muda sekali gus dapat mengelakkan risiko pelbagai penyakit berkaitan.

Subbarow.

“Sekiranya kenaikan harga rokok berlaku maka jumlah perokok akan berkurangan dan dalam jangka panjang, mereka lebih cenderung bagi berhenti merokok.

“Pada masa ini, negara mencatatkan seramai tujuh juta perokok dan kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM6.2 bilion bagi merawat tiga penyakit utama berkaitan tabiat merokok pada 2020.

“Selain itu, dianggarkan 20,000 kematian di Malaysia, disebabkan tabiat merokok setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, tinjauan CAP menunjukkan seorang perokok membelanjakan kira-kira RM400 sebulan bagi membeli rokok dan kebanyakan mereka adalah daripada golongan kumpulan B40.

“Sekiranya kerajaan menaikkan cukai dan harga rokok, perokok tegar akan berfikir panjang bagi membelinya berikutan harga yang tinggi selain menganggap ia sebagai barang mewah atau eksklusif dan sukar atau mustahil diperoleh.

“Antara negara yang sudah menguatkuasakan kenaikan cukai rokok ialah Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 di Parlimen esok. Pembentangan itu akan dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. – MalaysiaGazette