Kuliah secara bersemuka di Akademi Pengajian Melayu, UM

SEMPENA  menyambut Bulan Akademia Universiti Awam tahun 2022, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) bersama Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (PPAUPM) akan mengadakan Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam Malaysia (KAKUAM). KAKUAM kali ke empat ini akan dihadiri oleh semua gabungan 21 persatuan dan kesatuan akademik di universiti awam di Malaysia. Objektif KAKUAM kali ini, disamping menyambut bulan akademia universiti awam Malaysia dan sebagai platfom pertemuan ahli MAAC seluruh negara, akan juga membincangkan isu semasa berkaitan kebajikan ahli akademik. KAKUAM kali ini akan diisi dengan seminar dan forum pada 6 Oktober 2022 jam 9.00 hingga 5.00 petang di Auditorium Rashdan Baba, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Tema KAKUAM kali ini adalah “Memasyarakatkan Ilmu Menara Gading”. Tema ini dipilih kerana sangat bersesuaian dengan penubuhan universiti di tengah-tengah masyarakat dimana universiti itu berada. Tema seperti ini bukanlah suatu yang baharu tetapi sudah biasa disebutkan. Namun hasilnya masih terhad. Kita tahu kekuatan sesebuah universiti itu adalah menjana ilmu dan menghasilkan sumber manusia yang berfungsi dalam masyarakat dari segi ilmu, kemahiran dan teknologi. Ahli akademik mestilah berkongsi ilmu dengan masyarakat umum dan masyarakat setempat secara langsung melalui khidmat masyarakat, penyelidikan dan pengajaran. Bidang kepakaran ahli akademik mestilah dimanfaatkan masyarakat.

Sumbangan kepakaran ahli akademik tidak lengkap jika terhad kepada penulisan artikel dalam jurnal terkemuka dunia, menganjurkan seminar atau simposium atau menjalankan penyelidikan berimpak tinggi. Hasil pemikiran dan penemuan mestilah dikongsikan kepada umum atau khusus kepada yang berkenaan bergantung kepada tahap kesarjanaan, teknologi dan kemahiran. Hasil perbincangan KAKUAM nanti, MAAC bersama dengan persatuan/kesatuan akademik universiti akan bergerak seiring dengan semua universiti awam berkongsi ilmu dengan masyarakat mengikut kesesuaian dan keperluan. Masyarakat di sini bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan jabatan kerajaan, pihak korporat dan lain-lain pihak yang sesuai. Pihak kerajaan perlu mengadakan sistem dan ekosistem yang boleh melibatkan ahli akademik memasyarakatkan ilmu menara gading.

Dalam program pemindahan ilmu ini, institusi akademik mesti di martabatkan. Kedudukan ahli akademik mesti diiktiraf melampaui tugas dalam universiti yang terhad kepada pengajaran dan penyelidikan. Pensyarah universiti awam mesti mempunyai skim perkhidmatan yang tersendiri bagi menggalakkan kecemerlangan dan kesarjanaan. Laluan kerjaya pensyarah universiti awam mesti terus diperkasakan dan dilaksanakan secara telus sebagai tambahan kepada yang sedia ada. Kerjaya pensyarah sebenarnya adalah kerjaya sepanjang hayat, bermula daripada tutor, sebagai pensyarah dan sehingga bersara daripada universiti. Maka pengiktirafan kepada pensyarah cemerlang mesti disediakan selepas bersara.

Memandangkan universiti di Malaysia masih muda, dapat dilihat masih banyak jurang dalam kepakaran banyak bidang. Tenaga profesor yang bersara, yang masih berfungsi dan berminat dalam akademik, sepatutnya digunakan secara langsung dan tidak langsung. Kepakaran mereka boleh digunakan dalam membimbing ahli akademik dan penyelidik muda dan juga menjadi pakar rujuk pihak kerajaan dan agensi lain. Sesuai dengan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa dan penjanaan pendapatan universiti, sumbangan professor bersara mungkin boleh dimanfaatkan.

Banyak lagi perkara yang akan dibincangkan berkaitan martabat ahli akademik dan laluan kerjaya mereka dalam KAKUAM kali ini. Penceramah daripada Majlis Profesor Negara, Jabatan Pengajian Tinggi dan dikalangan presiden persatuan/kesatuan pegawai akademik universiti awam akan mengetuai perbincangan tentang isu-su yang disebutkan. Antara yang pernah dibincangkan bagi meningkatkan martabat pensyarah universiti awam adalah dari segi kepimpinan universiti awam, integriti, tekanan kerja pensyarah, ketelusan dalam kenaikan pangkat dan kepuasan dalam kerjaya.

Semua perbincangan ini akan diteruskan sesuai dengan cabaran semasa. Misalnya pada kali ini memartabatkan pensyarah universiti awam untuk program pemindahan ilmu ditengahkan kerana keadaan semasa negara dan dunia selepas bencana pandemic Covid-19. Akibat bencana itu rantaian kesan pandemic Covid-19 dapat dirasai semua masyarakat dunia dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan, kecukupan makanan dan termasuk juga kestabilan politik. Kesan ini akan terus dirasai dan mungkin lambat dipulihkan. Tambahan lagi akibat daripada perubahan iklim telah menyebabkan kejadian banjir dan bencana alam semula jadi lainnya. Semua ini perlu ditangani bersama. Peranan ahli akademik universiti awam sangat penting bagi bersama-sama pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan menanganinya. MAAC akan terus bergerak kehadapan bersama kerajaan demi kepentingan negara.

Dr. Ahmad Ismail
Presiden MAAC