UMNO
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) tiba di Menara Dato' Onn bagi menghadiri mesyuarat khas bersama kepimpinan tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Para pemimpin tertinggi UMNO menghadiri mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Menara Datuk Onn di sini malam ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Antara yang dilihat menghadiri mesyuarat tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Kesemua mereka enggan memberi butiran lanjut tentang mesyuarat tersebut ketika ditanya pemberita di ruang lobi.

Mohamed Khaled cuma menyatakan mereka akan membincangkan tentang manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Menara Datuk Onn kira-kira pukul 5 petang tadi dan beredar kira-kira sejam kemudian.

Tiada kenyataan dikeluarkan oleh beliau yang baru sahaja menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Perkembangan dalam UMNO menjadi tumpuan ramai berikutan terdapat desas-desus berhubung pembubaran Parlimen dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga. – MalaysiaGazette