Sasuke Premium Outlet menyertai Kempen ‘Warm Their Winter’ dalam usaha mengumpulkan kelengkapan baju musim sejuk bagi membantu pelarian Syria berdepan musim sejuk.

KUALA LUMPUR – Butik jualan baju bundle terkenal, Sasuke Premium Outlet (Sasuke) menyasarkan dapat mengumpul lebih 300 pakaian sempena Kempen ‘Warm Their Winter’ dalam usaha mengumpulkan kelengkapan baju musim sejuk bagi membantu pelarian Syria berdepan musim sejuk.

Pengarah NCT Supply & Trading Sdn. Bhd. yang juga pengendali butik itu, Nurul Suhaida Abu Sopian berkata, menerusi kerjasama dengan Syria Care melancarkan, pihaknya bukan hanya menerima sumbangan orang ramai malah Sasuke Outlet turut mengadakan promosi beli satu percuma satu, khas bagi pelanggan yang menyertai kempen itu.

Beliau berkata, kempen kali ini lebih istimewa kerana pelanggan dapat memilih sendiri pakaian yang ingin disumbangkan kepada penerima.

“Sasuke Outlet berbesar hati untuk sertai misi kemanusiaan kerana kami ada kelengkapan musim sejuk yang diperlukan di Syria dan platform untuk menjadi hub perhubungan antara masyarakat dan Syria Care.

“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh datang ke cawangan kami di Danau Kota, Kajang dan Bangi. Jika mereka berada di luar kawasan itu, pembelian boleh dilakukan secara atas talian.

“Program membeli dan beramal ini lebih istimewa kerana pelanggan akan memilih sendiri pakaian yang disukai dan kemudian ia akan disumbangkan kepada kempen.

“Kami juga menyediakan sebuah kad ucapan untuk dikirimkan kepada penerima supaya dapat mengubat sedikit kesedihan mereka,” katanya sambil memberitahu lebih 70 pakaian dapat dikumpul sejak kempen bermula 2 Oktober lalu.

Sementara itu Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi turut berkongsi pengalaman sewaktu berada di kem pelarian Syria Care di sana.

“Sehingga kini, kami bersyukur kerana rakyat Malaysia begitu memahami dan mengambil berat pakaian bagaimana yang sesuai untuk keadaan pelarian di sana.

“Berdasarkan pengalaman saya, pelarian Syria tinggal di dalam khemah yang sangat daif di mana tanda awal untuk musim sejuk akan berlakunya hujan, banjir dan ribut. Jadi selalunya khemah akan runtuh.

“Waktu salji turun pula suhu berada pada bawah paras beku iaitu bawah 10 darjah selsius. Sedangkan kami yang berpakaian lengkap untuk musim sejuk pun terasa kedinginannya, bayangkan pula kanak-kanak di sana hanya berkaki ayam dan hanya berbaju nipis dan keadaan mereka sangat menyedihkan.

“Kami minta sedikit ihsan daripada rakyat Malaysia agar turut sama membantu dan meringankan beban pelarian Syria,” katanya.

Mereka yang berminat boleh melakukan pembelian di Sasuke Outlet di Danau Kota, Seksyen 9 Bangi dan Bandar Kajang sehingga 8 Oktober ini. – MalaysiaGazette