default

BATU PAHAT – Stadium Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat pensijilan ‘World Athletics: Class 2 Athletics Facility Certificate’ pada 1 September 2022 lalu setelah kemudahan fasiliti trek dan padangnya mencapai kehendak teknikal yang telah termaktub di dalam World Athletics Rules.

Pengiktirafan tersebut telah dikeluarkan oleh World Athletics yang terdahulunya dikenali sebagai International Association of Athletics Federation (IAAF) iaitu satu badan pengiktiraf bagi trek dan padang sukan peringkat antarabangsa sejak tahun 1912 yang berpusat di Monaco.

Pengarah Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP), Prof. Madya Dr. Mohammad Kamil Abdullah berkata, pihaknya telah selesai melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf trek dan padang Stadium UTHM pada awal Ogos lalu.

”Sejajar dengan kerja pembaikan dan naiktaraf tersebut, pihak PPP telah memanggil panel penilai yang terdiri daripada pakar trek dan padang bagi memastikan piawaian kualiti peringkat antarabangsa dapat dicapai.

”Pengikitirafan ini dapat membuktikan bahawa Stadium UTHM mampu menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa sekali gus mampu menjadi sebuah institusi yang terulung di peringkat global,” katanya.

Untuk rekod, stadium tersebut sudah mula dibuka kepada warga universiti pada 19 September lalu untuk aktiviti sukan dan riadah. – MalaysiaGazette