Zahari Sarip

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan tiada kenaikan harga barangan keperluan asas bagi hasil pertanian dan produk laut pada musim tengkujuh yang dijangka tiba akhir tahun ini.

Malah, bekalan tersebut juga mencukupi, kata  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

“Sepatutnya tidak berlaku sebarang kenaikan harga barangan manakala untuk produk perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan telah pun bersedia menyediakan stok  ikan-ikan untuk dikeluarkan pada musim-musim tertentu, termasuklah pada musim tengkujuh.

“Bagi produk pertanian pula, kerajaan telah mengadakan program kolaborasi supaya dapat meningkatkan lagi pengeluaran hasil dan juga penjualan ke pasaran.

“Jadi ini semua antara inisiatif yang kita laksanakan sebagai persediaan negeri menghadapi musim tengkujuh akhir tahun ini,” katanya selepas menghadiri Program Kolaborasi Di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Berkaitan perkara itu, jelas Zahari lagi, Jabatan Perikanan kini dalam proses untuk menambah lesen kepada nelayan.

Ia bertujuan meningkatkan hasil laut supaya boleh disimpan di tempat simpanan yang terdapat di beberapa lokasi, antaranya di Mersing dan Endau.

Difahamkan Johor merupakan antara beberapa negeri yang dijangka akan dilanda banjir jika berlaku perubahan monsun pada akhir tahun. – MalaysiaGazette

CAPTION:Zahari ( tengah,belakang) ketika hadir ke Program Kolaborasi Di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.