Zahari (belakang,tengah) ketika menghadiri Program Kolaborasi Di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Pertemuan Ahli Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor hanyalah perjumpaan biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, pertemuan itu adalah perjumpaan pertama untuk kesemua ADUN BN Johor dengan Presiden UMNO.

Katanya, dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada semua ADUN BN Johor selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

“Tidak ada yang ‘special’ pun pertemuan itu. Cuma pertemuan pertama antara ADUN Johor BN dgn Presiden UMNO, iaitu kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

“Datuk Seri sekadar ucap tahniah kepada kami semua kerana berjaya menubuhkan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kolaborasi Di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Beliau yang diasak tentang perjumpaan itu mengakui ada persetujuan yang dicapai bagi memastikan kerjasama baik dalam kalangan ADUN-ADUN BN Johor dengan calon dan jentera BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Semalam, Ahmad Zahid telah mengadakan pertemuan dengan kesemua 40 orang ADUN BN Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga merupakan ADUN Machap.

Turut menghadiri pertemuan berkenaan adalah Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Untuk rekod, BN Johor berjaya memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu.

Sementara itu, dalam PRU14, BN Johor hanya memperoleh lapan kerusi Parlimen daripada kesemua 26 kerusi yang dipertandingkan di negeri ini.- MalaysiaGazette