Keadaan treler yang terlibat dalam nahas di KM 147.3 LPT hala Kuantan, pagi tadi.

KUANTAN – Sebuah treler muatan bijih timah dilaporkan terbabas lalu merempuh sebuah lori membawa muatan siling kapur serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di laluan bertentangan di KM147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pagi tadi.

Akibat daripada rempuhan itu, seorang lelaki dilaporkan cedera manakala dua lagi disahkan selamat.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.59 pagi berhubung kejadian tersebut.

Berdasarkan maklumat awal, kemalangan berpunca daripada lori treler membawa muatan bijih timah dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur terbabas hingga memasuki laluan bertentangan.

Treler berkenaan dipercayai merempuh lori kontena membawa muatan siling kapur itu.

Kemalangan itu menyebabkan MPV di belakangnya tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang lori kontena terbabit.

Mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Sementara itu, LPT dalam hantaran di laman medianya memaklumkan laluan kontra telah dibuka bagi mengelakkan kesesakan berterusan di lokasi kejadian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast