Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh “career break“, kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai cukai taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Katanya, bagi memperkasa peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita.

Kerajaan juga akan mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah, kata Tengku Zafrul semasa membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Setakat Oktober 2022, wanita memegang 29 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat senaraian awam utama.

“Kesemua 100 syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka,’’ katanya. – BERNAMA