petrol station fuel supply shortage
Kerajaan memperuntuk lebih RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntuk lebih RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023.

Jumlah dana yang besar itu bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan, kata Menteri Kewangan.

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 berkata, kerajaan komited untuk memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan.

Tahun hadapan, RM200 juta disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu.

Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu termasuklah Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu Sabah.

Manakala Program Jualan Murah Keluarga Malaysia telah dilaksanakan sejak Ogos lalu dan memanfaatkan pengguna melalui tawaran harga barangan keperluan asas sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Sejak dilancarkan, program ini telah diadakan di lebih 500 lokasi dan minggu ini telah dianjurkan di Kanowit, Sarawak.

Menurutnya, melihatkan impak positif program ini khususnya buat isi rumah B40, kerajaan komited untuk meneruskan pelaksanaan program ini di seluruh negara meliputi 600 DUN, 13 Parlimen Wilayah Persekutuan dan di universiti awam dengan peruntukan RM100 juta.. – MalaysiaGazette