Foto Twitter Atlas FC.

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora sah dilantik sebagai ketua jurulatih sebuah kelab yang berpangkalan di Mexico iaitu Atlas FC.

Berita itu telah diumumkan secara rasmi di akaun media sosial kelab itu.

Atlas FC dalam satu hantarannya turut memberi penghargaan dan mengucapkan selamat datang kepada Mora ke Kota Fury.

Dia akan dibantu oleh penolong ketua jurulatih, Giancarlo Salazar dan barisan-barisan kejurulatihan yang lain yang terdiri daripada jurulatih kecergasan, Marcos Adrián González, pengarah teknikal, Omar Flores dan jurulatih penjaga gol, Luis Valls.

Untuk rekod, jurulatih berusia 43 tahun ini telah mengemudi JDT mengharungi sebanyak 148 perlawanan dan berjaya mencatatkan sebanyak 102 kemenangan sejak tahun 2017.

Sepanjang di JDT, dia telah memenangi sembilan kejuaraan di mana masing-masing empat kali merangkul gelaran Liga Super, empat kali Piala Sumbangsih dan satu kali Piala Malaysia.

Mora juga menjadi antara watak penting JDT sehingga layak ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) tahun ini. – MalaysiaGazette