GCR civil servants salary scheme CUEPACS
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi untuk penebusan gantian cuti rehat (GCR).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, peruntukan untuk penebusan GCR berdasarkan permohonan dari semasa ke semasa bukan memberikan sejumlah peruntukan tertentu yang tidak akan ditambah jika habis digunakan.

“Mengambil contoh penebusan awal gantian cuti rehat (GCR), peruntukan setiap kementerian dan jabatan bagi menebus GCR 80 hari pada tahun ini didapati tidak mencukupi dan telah habis digunakan sehingga banyak permohonan daripada penjawat awam tidak dapat ditunaikan.

“Situasi ini sudah tentu memberi kekecewaan kepada warga perkhidmatan awam yang sudah dijanjikan dengan inisiatif tersebut tetapi tidak dapat menerimanya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau maksimum 90 hari berbanding 80 hari sebelum ini.

Adnan juga berharap agar kerajaan dapat menyalurkan segala inisiatif yang diumumkan melalui Bajet 2023 dan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 mengikut tempoh masa yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan serta proses birokrasi.

Menurut beliau, CUEPACS tidak mahu inisiatif yang diumumkan itu lewat, tidak dilaksanakan atau ditetapkan mengikut jumlah peruntukan yang tertentu.

Selain itu, Adnan menambah, segala inisiatif yang diumumkan untuk penjawat awam dan rakyat perlu dilaksanakan walaupun berlaku perubahan kerajaan pada masa akan datang.

“Segala inisiatif yang baik ini wajar diteruskan oleh kerajaan yang baharu dan tidak perlu dibatalkan sebaliknya ditambah dengan lebih baik,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, CUEPACS yakin dan memberi jaminan seluruh penjawat awam akan meletakkan keutamaan bagi menjayakan Bajet 2023.

Adnan berkata, bajet tersebut bukan sekadar apa yang penjawat awam terima tetapi bagaimana untuk memastikan rakyat mendapat manfaat secara komprehensif.

“Komitmen daripada seluruh warga penjawat awam dituntut bagi memastikan segala aspirasi kerajaan melalui Belanjawan 2023 ini dapat direalisasikan dengan jayanya agar rakyat mendapat manfaat.

“Dalam hal ini, penjawat awam mempunyai tugas paling berat dalam memastikan dasar dan rangka tindakan belanjawan berjaya dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast