KUALA LUMPUR – Pasukan yang bersaing di TM Piala Malaysia 2022 tidak melihat format undian musim ini yang dibuat sebelum Liga Super berakhir sebagai satu masalah besar.
Berdasarkan beberapa baki perlawanan yang tinggal, setiap pasukan hanya memikirkan mengenai memperbaiki kedudukan selain mendapatkan rentak positif sebelum Piala Malaysia bermula.
Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, berkata, semua pihak harus positif dengan pendekatan undian yang digunakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Saya tahu ramai yang mungkin kurang senang cara undian ini yang boleh dianggap masih baharu tetapi saya fikir dari segi positif.
“Memandangkan hanya tinggal dua tinggal perlawanan, saya tidak fikir pasukan akan bermain sambil lewa sambil sudah tentu menyasarkan kedudukan liga yang lebih baik.
“Jadi untuk jurulatih serta pemain, kita cepat sesuaikan diri dengan sistem undian sebegini selain perlu bersikap profesional serta bermotivasi bagi bantu pasukan,” katanya.
Undian TM Piala Malaysia 2022 yang berlangsung semalam memperlihatkan hanya kedudukan pasukan diundi (pasukan Liga Super) untuk mengisi posisi yang ditetapkan bagi saingan pusingan 16.
Hanya lima pasukan Liga Premier sahaja telah mengetahui nasib masing-masing seperti Kelantan, Kuching City FC, Kelantan United FC, PDRM FC dan UiTM FC. – MalaysiaGazette