Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir pada Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2022.

PERDANA Menteri dah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong petang Khamis. Mesyuarat Kabinet pun dah selesai sebelum solat Jumaat dan Bajet 2023 juga selesai dibentang di Dewan Rakyat petang Jumaat.

Tinggal lagi teka teki bila Perdana Menteri nak umum bubar Dewan Rakyat untuk beri laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membolehkan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang stabil, bukan kerajaan yang terhuyung hayang macam sekarang.

Bila sebut bab bubar ni, Bawah Kolong (BK) sebenarnya dah hampir tiga minggu tak cukup tidur kerana sibuk monitor, cari info dan kumpul maklumat dengan kawan-kawan media mahupun kawan-kawan politik.

Semua info dan maklumat yang BK dapat sependapat mengatakan Perdana Menteri akan umum bubar Parlimen selepas selesai Menteri Kewangan bentang Bajet 2023.

Namun, sehingga coretan ini ditulis (jam 9.55 malam), belum ada apa-apa warta pasal bubar. Maknanya, Parlimen masih boleh bersidang pada Isnin ini untuk bahas Bajet 2023.

Ada satu lagi info yang BK terima mengatakan, tidak mungkin Yang di-Pertuan Agong akan memberi perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

Baginda adalah seorang raja berjiwa rakyat, prihatin dengan masalah dihadapi rakyat dan amat logik kalau baginda tidak setuju PRU15 diadakan tahun ini. Biarlah musim tengkujuh berlalu, baharulah adakan PRU.

BK pun tak faham, kenapa ada segelintir pemimpin politik nak sangat pilihan raya diadakan dalam musim tengkujuh. Berapa kerat sangat yang akan keluar mengundi dalam cuaca hujan dan ketika air sedang melimpah di jalan-jalan raya.

BK sendiri pun kalau hujan, terutama waktu nak pergi kerja, rasa malas nak keluar rumah. Inikan pula nak redah hujan semata-mata nak ke pusat mengundi.

Begitu juga BK sebagai pengundi luar. Tempat mengundi BK di Kelantan, BK bekerja di Kuala Lumpur. Tiba-tiba hari mengundi ditetapkan pada musim hujan, sudah tentu BK akan batalkan niat nak balik mengundi.

BK tak mahu cari pasal rempuh jalan licin, hujan lebat dan bersesak-sesak di lebuh raya serta di jalan raya dalam keadaan cermin kereta berkabus, jarak pemandangan kabur.

Lagipun, jarak Kuala Lumpur ke Kelantan bukan lima kilometer, jauhnya lebih 500 kilometer. Kena rentas dua negeri iaitu Selangor dan Pahang sebelum masuk Kelantan.

Kalau perjalanan pergi balik pada hari biasa, enam hingga tujuh jam baru sampai ke destinasi. Ini musim hujan, jalan licin, cuaca lembab mahu ambil masa 10 hingga 12 jam memandu. Dalam usia BK yang tahun depan akan masuk kategori warga emas, BK tak larat.

BK tak mahu tempah risiko rempuh suasana macam ini untuk ulang alik KL-Kelantan, Kelantan-KL semata-mata hendak mengundi. Sekali balik sekurang-kurangnya RM500 perlu habis.

Sepanjang tiga penggal PRU, BK jadi pengundi luar tak pernah walau sekali BK dibayar oleh parti-parti politik, walaupun mereka berjanji akan beri duit poket kalau pengundi luar balik mengundi.

Janji macam ini BK dah masak sangat, faham sangat-sangat. Masa jumpa pengundi luar di KL, muka calon semanis manggis. Masa pengundi luar balik dan selesai membuang undi, muka calon tak nampak. Hilang tiba-tiba.

Kali pertama BK layak mengundi ialah pada PRU ke-6 tahun 1982. Sejak itu sehinggalah PRU14 tahun 2018, BK tak pernah tertinggal dari menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

BK tidak pernah bosan keluar mengundi, kerana pertama, BK gembira dapat undi calon yang BK suka dan kedua, semua PRU itu pula diadakan bukan dalam musim tengkujuh. Walaupun ada sekali sekala hujan dan berangin, itu perkara biasa.

Jadi, sampai sekarang BK tak dapat cari jawapan, kenapa Presiden UMNO mahu PRU ke-15 kali ini diadakan dalam musim hujan.

Nak kata takut dipenjarakan, lebih 40 pertuduhan ke atasnya telah diputuskan oleh mahkamah baru-baru ini sebagai tidak bersalah. Maknanya dia sudah bebas.

Nak kata takut hilang kelayakan bertanding, sebab sebutan baki kes masih tertangguh dan hanya di peringkat perbicaraan. Maknanya kalau PRU bulan Mac tahun depan pun, belum tentu mahkamah akan jatuhkan hukum.

Nak kata takut orang lain menang dalam perebutan jawatan tertinggi parti, Perlembagaan parti dan RoS sudah setuju pemilihan akan diadakan selepas enam bulan selesai PRU. Maknanya tidak akan ada pemilihan selagi PRU tidak diadakan.

Pendek kata, kalau tidak diadakan PRU sekarang pun dan diadakan sama ada pada Februari atau Mac atau April atau Mei tahun depan, ketiga-tiga alasan itu masih memihak kepada Presiden.

Ini yang BK tak faham. Strategi politik apa yang Presiden dan teamnya rencanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast