KUANTAN – Barisan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal dakwaan bahawa parti itu menolak Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) diadakan masa terdekat kerana takut kehilangan jawatan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sangkaan itu ditolak kerana parti memikirkan kesusahan rakyat dalam menghadapi keberangkalian berlaku banjir jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
“Menolak PRU sebab takut kehilangan jawatan? Saya tidak tahu, sebab kami dalam Menteri Bersatu dengan Pas tiada isu jawatan pun.
“Sebab jawatan ini sementara, jawatan bukan milik kami. Jawatan milik parti, kami (Menteri) ini milik parti sahaja, kalau parti kata jadi, maka jadi sahaja. Pada kami tidak pernah bincang soal jawatan,” katanya, di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, mesyuarat majlis tertinggi pada Khamis lalu telah memutuskan untuk memberikan fokus kepada persediaan menghadapi banjir dan pemulihan ekonomi.
“Tidak sesuai melakukan PRU 15 ketika banjir kerana rakyat dalam kesusahan ketika itu. Hujan dah mula turun dan kalau ikut ramalan kemungkinan berlakunya banjir tapi tidak tahu bila,” katanya.
Tambah beliau, cadangan parti-parti lain untuk mengadakan pilihan raya seawal Mac depan dilihat sebagai keputusan majoriti berhubung perkara tersebut.
Selain itu, katanya, faktor lain yang menjadi kebimbangan jika PRU diadakan pada masa terdekat kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar memandangkan beberapa negeri tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri.
“Belanja pilihan raya besar, sebaik-baik diadakan sekali, seandainya ada dua kali, bayangkan jika ada PRU bagi Parlimen diadakan pada tahun ini, tahun depan peringkat Dewan Undangan Negeri bagi enam negeri pula,” jelasnya. – MalaysiaGazette