Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya tidak melupakan rakyat Malaysia yang terperangkap di beberapa negara akibat pemerdagangan manusia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, usaha terbaru pertubuhan itu adalah menggunakan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menekan junta Myanmar bagi membebaskan warga Malaysia yang menjadi mangsa kes penipuan pekerjaan

“PBB diseru mengenakan sekatan lebih tegas ke atas Myanmar yang dilihat angkuh tidak mahu bekerjasama langsung. Kami pernah hantar memorandum kepada pihak Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur tetapi mereka tidak mahu terima pun.

“Kita cuma harap ketika negara sedang berdepan dengan ura-ura hendak Pilihan Raya Umum ini, MHO berharap sangat supaya mangsa-mangsa yang sedang terperangkap usah dilupakan. Perjuangan ini belum tamat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

“Kita berterima kasih juga dengan kerajaan khasnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang komited mendengar rintihan keluarga mangsa, aduan dari MHO tetapi tindakan lebih tegas perlu diteruskan kerana ini bukan isu main-main,” katanya.

Sindiket pemerdagangan manusia yang didalangi rakyat China memperdayakan mangsa menerusi iklan peluang kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan atau penterjemah di laman Facebook di Dubai dan Bangkok dengan gaji yang tinggi.

Selepas mendapat persetujuan mangsa, ejen akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi yang akan ditukar lokasi pada saat-saat akhir.

Setibanya mangsa tiba di negara asing, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas serta dimusnahkan dan mereka dikurung dan  dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, love scam dan penipuan lain.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, terdapat lebih 200 mangsa terkandas di Myanmar dan tidak dapat balik kerana dikawal pasukan bersenjata junta sendiri

Beliau mendakwa mendakwa junta tentera Myanmar bersekongkol dengan sindiket jenayah pemerdagangan manusia secara terbuka. – MalaysiaGazette