Bakal Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin berucap pada Perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama Parti Bangsa Malaysia (PBM) di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang bermesyuarat semalam sebulat suara bersetuju mengangkat Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai sebagai Presiden parti bagi menggantikan Datuk Larry Sng.

Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, pada mesyuarat itu Majlis Tertinggi telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti bagi memilih Zuraida yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk mengisi jawatan tertinggi parti tersebut.

“Majlis Tertinggi dan seluruh ahli Parti Bangsa Malaysia mengucapkan tahniah di atas pelantikan ini dan mendoakan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin terus diberi kekuatan bagi meneraju parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat malam tadi turut mengesahkan tujuh usul, termasuk pemilihan Zuraida sebagai Presiden parti, yang diluluskan sebulat suara pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 parti tersebut di Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

Sementara itu, Nor Hizwan berkata, Majlis Tertinggi menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Larry Sng yang telah memimpin parti sebelum ini. – MalaysiaGazette

Saya masih Presiden PBM bukan Zuraida – Larry