KUALA LUMPUR – Kerajaan diharapkan tidak memperbudak-budakan rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 tanpa sempat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sering ingin dilihat prihatin kepada rakyat, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya tidak membentangkan Bajet 2023 kelmarin dan kemudiannya membubarkan Dewan Rakyat tanpa sempat ia dibahaskan oleh ahli Parlimen.
“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya bertindak kurang matang seolah-olah memberitahu rakyat, “Kalau mahu bajet ini maka kamu perlu undi kami.
“Tindakan sedemikian merupakan satu perbuatan yang jijik dalam sebuah negara demokrasi.
“Sedarlah seluruh Keluarga Malaysia sekarang berdebar-debar untuk berdepan musim tengkujuh bukan mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan,” katanya dalam satu kenyataani hari ini.
Mahfuz menambah, setiap tahun, pembentangan bajet dilakukan oleh kerajaan untuk memberitahu jumlah perbelanjaan dan peruntukan yang akan digunakan pada tahun berikutnya.
Kata beliau, bajet yang dibentangkan itu akan dibahas oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang demi untuk menambah baik apa yang telah dibentangkan.
“Selepas dibahas di Dewan Rakyat, ia juga turut dibahas di Dewan Negara sebelum diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan diwartakan,” katanya. – MalaysiaGazette