Pasukan Hazmat melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. -JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Tiga individu pengsan selepas terhidu bahan kimia yang bocor dalam sebuah restoran makanan segera di Jalan Pandan 2/1, Pandan Jaya, Ampang, di sini, pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 9.55 pagi.

Katanya, anggota bomba dan pasukan dari Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah dikejarkan ke lokasi kejadian kejadian sejurus panggilan dibuat orang awam.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati terdapat dua wanita pekerja restoran terbabit telah pengsan termasuk seorang lelaki yang merupakan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masuk ke dalam restoran bagi membantu mangsa.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazam berkata, pihaknya sedang mengawal keadaan dengan tidak membenarkan orang ramai memasuki restoran berkenaan.

Siasatan kebocoran gas kimia itu sedang dikenal pasti bagi tindakan lanjut dan kesemua identiti mangsa masih belum diketahui. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast