KUALA LUMPUR – Biro Politik UMNO mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti itu petang ini.
Ia dipercayai ada kaitan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Mesyuarat telah bermula sejak pukul 5 petang tadi dengan beberapa pimpinan tertinggi parti itu mengambil bahagian.
Ketika berita ini ditulis, mesyuarat biro berkenaan yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berlangsung.
Satu lagi mesyuarat akan diadakan pada malam ini di Menara Dato Onn pukul 8 malam melibatkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
UMNO dilihat telah bersedia untuk berhadapan dengan PRU-15 ekoran beberapa desakan yang telah dibuat sebelum ini.
Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menerusi perutusan khasnya memaklumkanYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pembubaran Parlimen Ke-14 hari ini.
Katanya, ia adalah selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan dimana, Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaannya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini.
Serentak itu, beliau mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya Umum meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing. – MalaysiaGazette
















