BUKIT MERTAJAM – “Bayangkan lebih setahun anak kami terseksa akibat terperangkap dengan sindiket penipuan pekerjaan di Laos dan kini apabila perlu diselamatkan kami perlu membayar kira-kira RM5,600 kepada Kementerian Luar Negeri untuk membawanya pulang semula ke pangkuan keluarga,”.

Demikian luah Lim, 53 yang mendakwa terpaksa menagih simpati rakan-rakan untuk mengumpul wang yang ditetapkan bagi membawa pulang anak lelakinya Lim Zi Xin, 20, yang didakwa kini berada di pejabat Kedutaan Malaysia di Laos selepas diselamatkan polis negara itu dalam satu operasi khas pada 21 September lalu.

Lim.

Menurut Lim, pendapatannya kurang RM2,000 sebagai tukang cat tidak mampu membiayai kos tersebut memandangkan hanya dia seorang bekerja dan perlu menanggung isteri serta empat lagi anak termasuk yang masih bersekolah.

“Kami sangat bersyukur apabila mengetahui anak kedua yang diperdaya sindiket penipuan pekerjaan telah diselamatkan oleh polis Laos namun kegembiraan itu bertukar menjadi masalah apabila kami diminta membiayai kos membawa pulangnya.

“Kami buntu memikirkan wang yang diperlukan untuk membiayai kos yang ditetapkan oleh pihak kementerian ini kerana jika saya berasal daripada keluarga berada tak mungkin anak saya akan terpedaya dengan tawaran gaji RM8,000 di negara itu.

“Bagaimanapun, saya hanya mampu mengumpul RM2,500 hasil tagih simpati daripada keluarga serta rakan terdekat sebelum meminta bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menampung baki perbelanjaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Tambah Lim, dia berharap kerajaan membantu keluarga yang menunggu kepulangan anak akibat diperdaya sindiket penipuan pekerjaan selepas ini agar mereka tidak mengalami nasib sama sepertinya.

Ranggama (kanan) menerima bantuan kewangan daripada Steven Sim untuk membiayai kos membawa pulang anaknya di Laos.

Turut meluahkan situasi sama, T. Ranggama, 62, berkata, pendapatannya sebagai tukang cuci pinggan sebanyak RM50 sehari tidak mampu menanggung kos yang diminta kerajaan bagi membawa pulang anak tunggalnya, Teoh Chi Peng, 20.

“Saya ibu tunggal jadi pendapatan harian yang diterima itu cukup untuk perbelanjaan bulanan dari segi pembayaran sewa rumah dan lain-lain.

“Saya tak mampu kumpul satu sen pun untuk membawa pulang anak saya dari Laos namun, saya berterima kasih kepada YB Steven Sim yang sudi membantu meskipun saya merupakan penduduk Sungai Bakap iaitu bukan di bawah Parlimennya,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim berkata, dua keluarga itu antara lapan keluarga yang dikatakan berdepan isu sama namun enam daripada mereka telah berjaya mengumpul wang tersebut untuk diberikan kepada pihak Kementerian Luar Negeri.

Steven Sim.

“Kira-kira RM8,700 diperlukan oleh keluarg Lim dan Ranggama untuk membawa pulang anak mereka dan saya serta Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengeluarkan wang kami sendiri untuk membiayai kos tersebut.

“Kita harap kerajaan kaji semula mekanisma untuk membawa pulang rakyat kita yang menjadi pemerdagangan manusia di negara luar kerana keluarga sudah tertekan dari segi sokongan moral dan tidak patut diberi tekanan dari segi kewangan pula.

“Kalau rakyat negara luar jadi mangsa pemerdagangan di sini semua kerajaan kita tanggung, mengapa rakyat kita yang menjadi mangsa di negara luar kerajaan minta keluarga biayai kos bawa pulang? Mereka bukan pelancong yang tersesat mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia,” tegas Steven Sim. – MalaysiaGazette