Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jam 3 petang tadi selari dengan pendirian Pemuda UMNO sejak politik negara menjadi tidak menentu bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, biar rakyat memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara demi kesejahteraan mereka.

“Menjunjung kasih Ke Bawah DYMM YDP Agong atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf yakin baginda telah telah mengambil kira semua faktor termasuk setelah Tuanku sendiri mencemar duli turun mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara Khamis lalu.

Katanya, kini terserahlah kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU-15 yang boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim tengkujuh.

Menurut beliau, Pemuda UMNO dan Barisan Nasional telahpun bersiap siaga termasuk mengerahkan semua jentera di 13,205 cawangan seluruh negara dan para sukarelawan Skuad Sabil di 191 Parlimen untuk menghadapi PRU-15, di samping membantu rakyat sekiranya berlakunya musibah lebih awal daripada yang diramalkan.

Ismail Sabri dalam perutusan khas memaklumkan telah mendapat perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 sekaligus memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast