Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah tetapi yang ditolak parti ini adalah sebarang usaha untuk menyelamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Lantaran itu kata beliau, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukanlah satu rumusan bagi menjadikan ummah yang bersatu.

“Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.

“Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui sindiket pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia.

“Kerana itu, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Khaled mendakwa, Bersatu mempunyai DNA anti-UMNO dan memiliki karekter sebagai pengkhianat.

Manakala katanya, UMNO adalah sebuah gerakan politik dan bukannya gerakan dakwah dimana tugas parti ini adalah mengurus dan mentadbir negara.

Penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya dan UMNO akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa serta bukan bermusim bila ia mentadbir nanti, ujarnya.

Tambah beliau, segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu dimana strategik untuk orang Melayu adalah mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.

“Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya agar ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.

“Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bersatu pastinya. Kerana telah menjadi cita-cita Bersatu untuk UMNO itu diakhiri, ditolak dan di matikan,” katanya. – MalaysiaGazette