Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengerakkan sukarelawan parti itu bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Pengerusi Biro Mobilisasi PH Mohamad Sabu berkata, langkah itu diambil berikutan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan semua pihak agar bersiap-siaga menghadapi risiko banjir.

Mohamad berkata, pihaknya akan menyediakan kelengkapan lengkap kepada sukarelawan terbabit bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

“Sebagai langkah bersiap-siaga, Biro Mobilisasi Pakatan Harapan akan mengerahkan seramai mungkin sukarelawan untuk membantu dan memastikan keselamatan mangsa-mangsa banjir serta harta benda mereka selamat.

“Pihak kami juga akan mempersiapkan jentera sukarelawan di semua peringkat beserta kelengkapan mantap yang boleh dikerahkan ke kawasan yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Amanah itu berkata, PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

Malah PH juga menyediakan borang pendaftaran kepada pihak yang berminat untuk bersama-sama terlibat sebagai sukarelawan.

“Untuk itu, kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk menghulurkan kepakaran dan bantuan supaya banjir kali ini dapat dihadapi dengan kemusnahan harta benda pada tahap yang amat minimum.

“Bagi mendapatkan tenaga sukarelawan lebih ramai, pihak kami akan mengeluarkan borang pendaftaran sukarelawan yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendaftar sebagai sukarelawan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, persiapan menghadapi banjir itu dilakukan berikutan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) awal bulan yang mengeluarkan laporan kemungkinan hujan lebat berterusan sehingga mengundang risiko bencana banjir.

Mohamad berkata, situasi tersebut perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Tambah beliau, bencana yang berpunca daripada fenomena perubahan cuaca bukan lagi satu peristiwa yang boleh dianggap sebagai normal dan disambut seperti sebuah ‘pesta’ dan biasa-biasa sahaja.

“Apa yang berlaku pada penghujung tahun lalu patut menyedarkan kita bahawa berpuluh ribu penduduk telah menjadi mangsa dan jutaan harta telah musnah yang mana traumanya masih dirasai sehingga kini,” jelasnya.

MetMalaysia sebelum ini meramalkan musim tengkujuh akan berlaku bermula pertengahan bulan November.-MalaysiaGazette