Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bercakap pada sdiang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rundingan antara Pas dengan UMNO bagi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) sebenarnya mahu mengelakkan pertembungan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ia dilihat sebagai satu muslihat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Pas menawarkan jalan penyelesaian, namun UMNO perlu melihat keberuntungan jika rundingan diteruskan, apatah lagi Pas masih bersama Perikatan Nasional (PN).

“Jika mereka bersama dengan kita atau tidak, kita tetap berpegang kepada supaya kita tidak mahu untuk secupak tetapi rugi segantang.

“Sebarang keputusan yang akan kita perolehi mesti melihat dari segi keberuntungan yang akan diperolehi oleh BN.

“Kami berpegang, kalau mahu bekerjasama, kerjasama secara sepenuhnya, bukan kerana berunding kononnya ada kerusi-kerusi tertentu bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

“Kami fikir itu adalah taktikal ataupun muslihat yang mereka lakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Presiden MIC, Tan Sri S.Vigneswaran dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, UMNO dan BN tidak akan teragak-agak untuk melakukan serangan balas sekiranya parti itu diasak tiga penjuru daripada mana-mana pihak termasuk Pas dalam PRU15.

“Kami menghormati bahawa tidak ada sebarang serangan akan dilakukan, tapi pastinya kalau kita diserang, kita akan menjawab dengan fakta.

“Dan jika ada sesuatu yang mereka lontarkan tidak berasaskan kepada fakta, mereka akan terima apakah tindakan-tindakan yang akan kita lakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast