Suasana pendaftaran pelajar baharu di kampus UTHM.

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut kedatangan 2,049 pelajar baharu program ijazah sarjana muda bagi semester 1 sesi 2022/2023 pada 9 Oktober lalu di kampus induk Parit Raja dan kampus Pagoh.

Jumlah tersebut dijangka bertambah dari semasa ke semasa sehingga tempoh pendaftaran berakhir.

Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan 2022/2023 secara bersemuka mengikut keperluan dan penetapan yang dibuat oleh fakulti masing-masing.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 13 Oktober ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, kesemua pelajar baharu itu akan ditempatkan di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh universiti.

Mereka akan mengikuti program pengajian di lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

”UTHM berharap pelajar yang mendaftar di kampus induk Parit Raja dan kampus Pagoh sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan kampus dan berusaha keras bagi mencipta kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast