Keadaan Kelisa yang terlanggar di belakang lori di jalan lampu isyarat apabila menekan brek tetapi gagal mengelak daripada melanggar belakang lori tersebut.-Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut akibat parah di kepala selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki bersama bapanya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 12, Jalan Bukit Changgang-KLIA, Kuala Langat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor@Salleh berkata, dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kelisa itu daripada arah Bukit Changgang menghala ke arah Taman Langat Murni, Banting.

“Apabila sampai di tempat kemalangan, lori yang berada di hadapan kereta tersebut berhenti di simpang lampu isyarat yang bertukar berwarna merah lalu pemandu Kelisa membrek dan cuba mengelak ke kanan tetapi gagal sebelum terlanggar jugak bucu bahagian belakang sebelah kiri lori itu kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemandu Kelisa yang berumur 39 tahun itu tersepit dan parah di bahagian kepala manakala penumpang hadapan keretanya, seorang kanak-kanak dipercayai anak pemandu, parah di bahagian kepala akibat hentakan pada dashboard sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ahmad Ridzwan, pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Perodua Kelisa dikejarkan ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala mayat kanak-kanak terbabit telah dibawa ke Bilik Mayat Hospital Banting untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” ujarnya.

Tambah beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Orang-ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta  menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor, Fatin Husna Khairuzzaman (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 017 3012621) atau 03-31872222. – MalaysiaGazette