Datuk T. Mohan.

KUALA LUMPUR – MIC menafikan partinya membuat resolusi mendesak pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menafikan adanya sebarang resolusi seperti itu dalam mesyuarat agung tahunan parti itu semalam.

“Tidak ada. Saya juga baru difahamkan adanya sedikit kesilapan teknikal jadi kita nafikan perkara ini, ia tiada dalam manifesto dan laporan dari portal itu tidak mewakili MIC,” ujarnya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal yang mengatakan salah satu resolusi MIC adalah mendesak kerajaan membebaskan Najib dari penjara.

MalaysiaGazette difahamkan ada sedikit kesilapan teknikal yang mana pegawai khas kepada Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan telah memuatnaik tentang resolusi itu tanpa menyedari adanya kesilapan perkataan.

Hari ini sebuah portal berita telah melaporkan dalam Perhimpunan Agung MIC ke-76 mendakwa parti itu telah mengemukakan resolusi itu bagi terus mengenang jasa beliau kepada negara dan masyarakat India.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Mohan memohon maaf atas kesilapan teknikal itu dan mengesahkan status itu juga telah dipadamkan.

“Admin saya telah menulis semua resolusi serta ucapan dan amanat yang telah dikemukakan dalam AGM semalam tapi pada masa sama beliau telah tersilap menulis adanya resolusi itu. Sebenarnya itu bukan resolusi kami. 

“MIC tidak keluarkan resolusi seperti itu. Untuk pengetahuan anda, resolusi MIC lebih fokus kepada pemerkasaan masyarakat India di negara ini dalam pelbagai aspen termasuk sosio-ekonomi serta lain-lain. 

“Banyak juga isu yang sedang di hadapi oleh kaum India di negara ini dan itulah fokus serta komitmen MIC.

“Sekali lagi saya menafikan tentang sebarang resolusi membebaskan Najib telah dikemukakan oleh MIC sebaliknya ada sedikit kesilapan ketika memuatnaik berita itu,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. -MalaysiaGazette