Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Walaupun Yang di-Pertuan Agong menasihatkan supaya ketua-ketua kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka serentak dengan Persekutuan namun Selangor kekal dengan pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan perkara itu selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Jelasnya, keputusan berkenaan kekal selepas menyembah maklum nasihat baginda untuk mendahului urusan kepada rakyat negeri tersebut.

“Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN. Ia antaranya berkaitan soal pembangunan, banjir, bajet dan Rancangan Selangor Pertama.

“Maka dengan itu, PH Selangor kekal dengan keputusan tidak membubarkan DUN pada tahun ini,” katanya dipetik sebagai berkata.

Amirudin tiba di Istana Bukit Kayangan pada pukul 10.05 pagi dan keluar pada 12.45 tengah hari.

Pada 5 Oktober lalu, Pakatan Harapan (PH) menegaskan tidak akan membubarkan DUN di tiga buah negeri yang ditadbir, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan PRU-15 diadakan berharap Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor turut membubarkan DUN serentak.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan membentangkan bajet Selangor selepas pilihan raya diadakan.

“Namun, ia bergantung kepada tarikh pilihan raya umum yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak,” ujarnya. – MalaysiaGazette