Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat khas parti ketika di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kononnya Pakatan Harapan (PH) menolak kerjasama dengan  Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Sebaliknya,  Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, rundingan masih lagi berjalan dan mempunyai ‘kemajuan’ pada masa ini.

“Tidak betul PH tolak MUDA, kita sedang runding, ada kemajuan. Tanya Nik Nazmi kalau tidak percaya,” katanya ringkas selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat PKR malam tadi.

Sebelum ini, ada media melaporkan dengan menggunakan sumber dalaman PKR memaklumkan PH memutuskan untuk menolak permohonan MUDA menyertai gabungan parti itu.

Portal tersebut mendakwa, sumber itu memberitahu, PH memutuskan hanya mengadakan electoral pact dengan MUDA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, ketika ditanya intipati mesyuarat hari ini, beliau berkata, ia berkaitan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berikutan pembubaran Parlimen petang tadi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, dalam satu kenyataan  Ketua Pembangkang itu mempersoalkan sikap pihak tertentu yang didakwa sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat semata-mata untuk membuat pilihan raya umum pada masa ini.

Sambil itu beliau meminta rakyat untuk tidak terpedaya dengan sikap kerajaan yang hanya menjaga kepentingan sendiri.

Katanya lagi, rakyat memang sekian lama menanti masa untuk mengembalikan Kerajaan PH, namun waktu yang dipilih untuk diadakan PRU, terutamanya dalam musim banjir akan datang, berkemungkinan akan mewujudkan risiko kepada masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast