KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) minggu depan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ketika ini, perkara itu masih dalam perundingan antara parti-parti komponen.
“Minggu depan kita mungkin boleh muktamadkan apa juga keputusan yang telah dicapai akan dimaklumkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini, malam ini.
Berhubung pembahagian kerusi untuk parti-parti Friends of BN, beliau memberitahu, ia masih belum dibincangkan.
Ka Siong berkata, tiga parti komponen utama BN perlu membincangkan secara mendalam mengenai setiap kawasan pilihan raya.
“Mungkin ada perubahan dari segi komposisi ada tempat yang Undi18 masuk kita akan kaji setiap satu.
“Kita dah ada satu kerangka yang perlu kita perhalusi dan mungkin minggu depan kita muktamadkan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, mesyuarat tersebut tidak membincangkan tentang permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyertai BN. – MalaysiaGazette