PH DUN
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka membuat pusingan U berhubung keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serentak dengan Parlimen.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, mereka mungkin menggunakan alasan tidak mahu menyusahkan pengundi dan kononnya mahu mengelakkan pembaziran dana kerajaan apabila pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secara berasingan.

“Anda juga boleh memberi alasan lain bahawa anda yakin pengundi akan menghukum Barisan Nasional (BN) kerana mengadakan pilihan raya semasa musim banjir.

“Jadi, ini adalah masa terbaik untuk mengambil kesempatan daripada sentimen rakyat,” katanya secara sinis dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas laporan The Star yang menyatakan, beberapa pemimpin PH yang enggan dikenali memberitahu, PH mungkin kehilangan tiga negeri yang dikuasainya jika PRN diadakan selepas PRU15.

Mereka bimbang Barisan Nasional (BN) akan menumpukan seluruh jenteranya di ketiga-tiga negeri terbabit selepas berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Pemimpin-pemimpin PH terbabit juga khuatir ramai pengundi luar tidak akan pulang sekiranya PRN diadakan secara berasingan.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan bahawa DAP Pulau Pinang telah meminta pucuk pimpinan parti mengkaji semula keputusan mengadakan PRN secara berasingan.

Setakat ini, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan secara rasmi masih berpegang dengan keputusan tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast