PULAU PINANG – Pemimpin DAP Pulau Pinang termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari negeri itu cenderung menyokong pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum.
Sinchew Daily melaporkan, susulan mesyuarat tergempar yang diadakan, pemimpin parti berpendapat pilihan raya secara serentak dapat menjimatkan kos selain membantu meningkatkan peratus keluar mengundi.
Walau bagaimanapun, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak mengumumkan apa-apa keputusan yang telah dicapai.
Sementara itu, seorang sumber memberitahu Kwong Wah Yit Poh bahawa adalah tidak mudah untuk mengubah keputusan dan pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), walaupun DAP Pulau Pinang cenderung menyokong mengadakan pilihan raya negeri serentak Persekutuan.
“Walau bagaimanapun, DAP pusat selama ini menghormati pandangan DAP negeri kerana kami lebih memahami keadaan dan sentimen setempat,” katanya.
Mengulas perkara itu, Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang menyerah kepada pusat untuk menentukan sama ada pilihan raya negeri akan diadakan serentak dengan pilihan raya umum.
Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang juga akan membincangkan isu itu dalam PH Pulau Pinang.
“Saya percaya parti-parti PH lain telah membincangkan isu ini dalam mesyuarat dalaman masing-masing,” katanya.
Difahamkan, sekiranya PH pusat merestui supaya pilihan raya negeri Pulau Pinang diadakan secara serentak dengan Persekutuan, maka Kon Yeow akan menghadap Yang di-Dipertua Negeri dengan segera untuk mendapat perkenan bagi membubarkan DUN. – MalaysiaGazette