Foto Facebook MFL.

PETALING JAYA – Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan lesen kebangsaan untuk membolehkan mereka beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) 2023 kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif berkata, ini menyebabkan menyebabkan permohonan mereka tidak diterima untuk beraksi musim depan.

Bagaimanapun kata beliau, kedua-dua pasukan diberi peluang untuk membuat rayuan bermula hari ini sehingga sebelum atau pada 5 petang 19 Oktober ini.

Jelasnya, Sarawak menjadi pasukan bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan manakala Melaka United gagal melunaskan tunggakan gaji dua bulan pada Jun dan Ogos.

“Satu badan bebas akan menilai rayuan dan mereka perlu menghantarnya pada 19 Oktober ini. Antara alasan Melaka gagal ialah kerana tidak dapat menyerahkan bukti pembayaran gaji untuk Jun dan Ogos 2022.

“Sementara Sarawak pula gagal seperti berikut, pertama gagal memenuhi kriteria infrastruktur dengan gagal mendapatkan kelulusan pihak stadium untuk musim 2023.

“Kedua, tidak memenuhi kriteria semangat kesukanan dan ketiga, dokumen audit kewangan tahunan yang tidak selari untuk tahun 2021.

“Keempat gagal menyerahkan dokumen perancangan kewangan untuk musim depan, kelima gagal menyelesaikan atau persetujuan bersama tunggakan KWSP dan Perkeso untuk Jun dan Ogos 2022.

“Keenam gagal memenuhi kriteria kewangan, ketujuh gagal menyediakan struktur kewangan tahun depan dan kelapan gagal menyelesaikan tunggakan gaji dua pemain importnya yang sudah dibawa ke pengetahuan Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) iaitu Sandro da Silva dan Taylor Reagen,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sheikh Mohd. Nasir menambah, 10 pasukan Liga Super lain berjaya melepasi dan diberikan lesen kebangsaan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Sri Pahang, Terengganu FC, Penang FC, Selangor FC, Negeri Sembilan FC, Sabah FC, Petaling Jaya City FC, Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC.

Enam lagi pasukan Liga Perdana turut diberi lesen iaitu Kelantan FC, UiTM FC, Perak FC, Kelantan United, Kuching City FC dan PDRM FC. – MalaysiaGazette