Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) Wilayah Persekutuan akan bertanding tujuh kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Pejuang sudah mula menggerakkan persediaan menghadapi PRU sejak awal penubuhan parti itu.

Jelas beliau, pihak Majlis Pimpinan Pejuang Wilayah Persekutuan sudah menghantar senarai nama calon yang bakal mewakili parti kepada presidennya, Datuk Seri Mukhriz  Mahathir untuk dimuktamadkan.

“Berkemungkinan besar kita akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, Batu, Lembah Pantai, Putrajaya, Setiawangsa, Titiwangsa dan Wangsa Maju.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Pejuang di peringkat pusat untuk memuktamadkan calon mana yang akan bertanding di mana-mana kawasan Parlimen,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Pejuang di Danau Kota hari ini.

Tambah Khairuddin, Pejuang bakal bertanding secara satu pasukan di bawah Gerakan Tanah Air (GTA) dan pembahagian kerusi akan dibuat mengikut kekuatan parti di setiap kawasan Parlimen.

“Satu rundingan bersama semua kepimpinan dari empat parti komponen seperti Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa akan dibuat untuk memilih calon yang bakal bertanding” kata Khairuddin yang juga Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan.

Namun, kata beliau, jika pendaftaran gabungan GTA pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak diselesaikan, Pejuang akan bertanding menggunakan logonya sendiri.

Di Kelantan pula, katanya, gabungan itu bakal bertanding dibawah logo Parti Putra.

Hari ini terdapat dua mesyuarat tergempar iaitu bersama Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan dan Majlis Pimpinan GTA Wilayah Persekutuan bagi membincangkan hala tuju parti dalam PRU-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast