Rafizi Ramli.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – PKR membuka borang dalam talian kepada ahli parti dan orang awam yang berminat untuk menjadi calon parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataan di media sosial berkata, mulai pilihan raya ini PKR akan memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia untuk tampil menjadi calon.

Katanya, pemilihan akan berdasarkan tatacara saringan dan pemilihan calon yang telah ditetapkan oleh parti itu.

Menurutnya, PKR merupakan parti pertama di negara ini yang mengumumkan secara telus kriteria, sistem pemarkahan dan saringan awal, prosiding pemilihan calon dan proses yang berlaku untuk memilih calon.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, menjadi salah satu hasrat utama beliau dalam politik untuk membantu meletakkan orang yang ahlinya untuk menjadi pemimpin.

“Banyak masalah selesai sekiranya orang yang jujur, berakhlak, berilmu, berkemahiran dan rajin diangkat menjadi pemimpin.

“Kepimpinan itu diuji melalui pengalaman dalam organisasi (selalunya organisasi politik) kerana hanya kumpulan pemimpin yang prinsip mereka selari antara satu sama lain yang boleh mentadbir sebagai kerajaan.

“Banyak perubahan dalam masyarakat masih bergantung kepada tindak tanduk kerajaan yang memerintah,” katanya.

Maklumat yang perlu diisi dalam borang pencalonan itu adalah akaun Facebook, nombor telefon, jawatan dan alamat majikan.

Pada 10 Oktober lalu Jabatan Pilihanraya Pusat PKR mengeluarkan pekeliling tatacara saringan dan kriteria pemilihan calon-calon PKR untuk PRU15.

Tatacara berkenaan telah diluluskan olen Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat pada 29 September.

Semua anggota parti yang berminat untuk menjadi calon serta kepimpinan cabang-cabang perlu mengisi borang berkenaan sebelum tarikh akhir pencalonan iaitu jam 5 petang, Khamis 13 Oktober.

Sekretariat Calon JPRP hanya merujuk kepada pangkalan data calon-calon yang dikemukakan melalui sistem ini untuk memastikan semua maklumat adalah seragam tepat dan status insolvensi adalah terkini.

Senarai calon-calon yang dicadangkan dari semua peringkat ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan Timbalan Presiden dan dianggotai Naib-naib Presiden.

Jawatankuasa Calon bertanggungjawab menyediakan senarai pendek tiga calon teratas bagi setiap kerusi untuk dipertimbangkan oleh Presiden dan dimuktamadkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast