Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud . Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Program Visa Premium Malaysia (PVIP) yang diumumkan Menteri Dalam Negeri pada 1 September lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, selepas permohonan dibuka mulai 1 Oktober 2022, Jawatankuasa Pelulus Program PVIP telah meluluskan sejumlah 16 agensi dengan kuota pemohon sebanyak 10,300.

Katanya, setiap agensi atau syarikat yang dilantik untuk mengendalikan program itu dikehendaki membuat bayaran deposit 10 peratus daripada fi penyertaan RM200,000 untuk setiap prinsipal.

“Oleh itu, dengan kelulusan kuota sebanyak 10,300 ini, kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM206 juta. Deposit ini mesti dibayar oleh agen dalam masa 30 hari setelah mendapat surat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Program PVIP akan dilaksanakan secara berfasa supaya penilaian yang sewajarnya dapat dilaksanakan.” katanya dalam kenyataan pagi ini di sini.

Tambah Khairul Dzaimee, bagi fasa pertama, hanya 20,000 kuota peserta yang layak akan dibuka. Selepas kuota ini penuh, kadar fi penyertaan sebanyak RM200,000 bagi setiap prinsipal akan dikaji semula.

Menurut beliau, program PVIP adalah satu program berimpak tinggi bagi menarik pelabur-pelabur asing dan hartawan global.

Ujarnya, agen-agen yang dilantik dan peserta-peserta perlu memenuhi syarat-syarat yang ketat sebelum kelulusan diberikan oleh Jawatankuasa Pelulus.

“Antaranya, agen atau syarikat yang dilantik hendaklah mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta dan berkeupayaan menjelaskan deposit sebanyak 10 peratus daripada jumlah kuota yang diluluskan.

“Sementara bagi peserta pula, mereka hendaklah mempunyai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, dan membuat simpanan dalam akaun tetap di bank-bank tempatan sebanyak RM1 juta.

“Senarai agen-agen yang telah dilantik akan dipamerkan dalam laman web dan sosial media JIM bagi memudahkan peserta mengemukakan permohonan.

“Maklumat lanjut mengenai Program PVIP juga boleh didapati di laman web rasmi jabatan ini di www.imi.gov.my,” kata Khairul lagi.-MalaysiaGazette