KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau tersilap tafsir berhubung kenyataan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO itu berkata, Dr. Mahathir mendakwa kononnya beliau tidak mengulas tuduhannya bahawa orang Melayu akan menyokong UMNO disebabkan tawaran wang.
“Apakah saya ‘tersilap tafsir’ atau Dr. Mahathir ‘tersilap auta’?” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir menafikan laporan media kononnya beliau mendakwa UMNO akan menang pada PRU15.
Sebaliknya, beliau menyatakan UMNO akan menang hanya kerana parti itu menggunakan sogokan.
Jumaat lalu, beberapa media yang memetik Nikkei melaporkan bekas Perdana Menteri itu berkata demikian.
Ahmad Zahid pada Ahad lalu menyatakan, Dr. Mahathir sepatutnya tahu majoriti orang Melayu kembali kepada UMNO kerana telah sedar kesilapan mereka lakukan pada PRU14 dan mereka tidak mahu ia berulang gara-gara terpedaya dengan pembohongan, hasutan, fitnah dan janji-janji manis manifesto bukan kitab suci.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Dr. Mahathir bahawa ketika ini adalah zaman media sosial dan bukan lagi di mana beliau ‘menguasai’ segenap saluran maklumat.
“Atau barangkali Dr. Mahathir hanya membaca laporan media tertentu yang hanya melaporkan kenyataan saya sekerat-sekerat.
“Jika begitu keadaannya maka tiada siapa dapat menolong kecuali terdapat sekelumit dalam hatinya untuk melihat kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette