Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Sikap keprihatinan rakyat Malaysia dan sukarelawan sangat menggalakkan sehingga golongan itu berlumba-lumba membantu mangsa bencana alam terutama banjir.

Bagaimanapun soal penyelarasan sering kali menjadi masalah berbangkit.

Justeru Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah penyelarasan perlu dilakukan bagi memastikan pengurusan bantuan sistematik dapat disalurkan kepada masyarakat yang terkesan banjir.

Beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan banjir diminta berurusan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas Program Bantuan Bencana di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan  Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M. Ahmad Shazly Ramli.

Tambah Wan Rosdy, penyelarasan itu penting untuk memastikan bantuan yang dihulurkan tidak hanya bertumpu di satu tempat sahaja.

“Dari segi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, kerajaan negeri melalui PKOB daerah sudah bersedia. Kita juga sudah menyediakan Pusat Pemindahan Tetap untuk keselesaan kepada mangsa banjir di Pekan, Maran dan Lipis,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Pahang belanja RM47 juta untuk persediaan musim tengkujuh

Pada majlis itu, sumbangan dari Petronas merupakan dua unit bot yang dilengkapi dengan enjin,  tangki bahan api serta kemudahan roda mudah alih, 1,000 unit khemah, 700 jaket keselamatan dan 7,000 helai baju hujan diserahkan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM47 juta sebagai persediaan banjir di negeri ini selain menaikkan sumbangan tabung bencana daerah dari RM20,000 kepada RM50,000. – MalaysiaGazette