Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas Majlis Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Hotel The Everly, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia menimbang tawaran untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, sehingga kini beliau belum menerima tawaran yang serius apabila tiada pihak yang menghubungi untuk berbincang perkara itu.

Malah tegas beliau, Bersatu kini sudah memasuk fasa persiapan terakhir yang menjadi fokus utama parti gabungan Perikatan Nasional (PN) lain seperti Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

“Saya tak baca laporan itu (tawaran) dan  setakat ini tak ada pihak yang berhubung dengan saya tentang soal itu. Lagipun kita dalam fasa persiapan.

“Tak tahulah tapi dulu pernahlah bincang awal dulu dan lepas itu tak jadi apa-apa. Saya kurang pasti serius ke tak serius cadangan itu.

“Kalau ada pihak serius bincang, kita sedia menimbang walaupun bukan hak saya kerana saya perlu bawa ke Majlis Tertinggi sama perlu ke tak perlu malah PN juga sudah bersiap sedia,” katanya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bergambar kenangan bersama peserta seminar pada Majlis Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Hotel The Everly, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dalam PRU15 akan datang.

Mahathir yang Pengerusi Penaja Gerak Tanah Air (GTA) berkata, pihaknya sedia berbincang dengan mana-mana parti yang mempunyai perjuangan yang sama dengan parti gabungan itu iaitu menolak UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast