Rakaman CCTV dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam penipuan jualan sebutir batu delima sehingga mengakibatkan seorang warga emas kerugian lebih RM54,500.

JASIN – Pasangan warga emas kerugian lebih RM50,000 semalam selepas menjadi mangsa penipuan sebutir batu delima yang kononnya dapat merawat segala jenis penyakit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, kejadian bermula apabila pengadu lelaki berusia 75 tahun dan isterinya, 70-an itu tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali, iaitu suspek pertama di parkir kereta kereta di pekan Jasin kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, suspek lelaki berusia sekitar 40 hingga 50-an itu berpura-pura mencari seorang individu untuk membeli senaskhah buku agama sebelum mangsa memberitahu hanya terdapat sebuah kedai di Jasin menjual buku-buku agama.

“Pada masa sama, seorang lelaki berbadan kurus tinggi dan putih memakai kopiah (suspek kedua) lalu di situ dan pengadu kemudian meminta suspek pertama bertanyakan perkara itu kepada lelaki berkenaan.

“Suspek kedua memberitahu tidak tahu mengenai penama dimaksudkan dan berpura-pura bertanya mengenai tujuan suspek pertama mencarinya sebelum dia menjelaskan ada individu menyuruhnya mencari penama lelaki tersebut untuk menunjukkan batu delima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mispani Hamdan

Tambahnya, pada masa sama suspek pertama mengeluarkan sebutir batu delima bersaiz batu cincin dari poket dan pengadu dapat melihat batu terbabit berwarna merah.

Mispani berkata, suspek pertama kemudian memberitahu batu itu tidak boleh diihat di tempat umum sebelum pengadu mengajak kedua-dua suspek masuk ke dalam keretanya bersama isterinya yang sedang menunggu di dalam.

“Suspek kemudian telah memasukkan batu delima ke dalam air mineral dari plastik bungkusan yang terdapat di dalam kereta pengadu dan ketika itulah pengadu dan isterinya dapat melihat batu tersebut mengeluarkan cahaya.

“Suspek bagaimanapun cepat-cepat mengambil semula batu delima itu sambil mendakwa air rendaman itu boleh mengubati segala jenis penyakit yang turut diyakinkan oleh suspek kedua.

“Kedua-dua suspek kemudian mempelawa pengadu dan isterinya yang dilihat menggunakan tongkat meminum air rendaman batu delima tadi sebelum kedua-dua mereka berbuat demikian,” katanya.

Selepas itu, jelasnya, suspek memberitahu batu berkenaan mempunyai harga yang tinggi di pasaran sebelum berpura-pura menghubungi rakanya yang merupakan suspek ketiga dalam kes ini.

“Pengadu dan isterinya bersama dua suspek kemudian telah ke Hospital Jasin untuk berjumpa dengan suspek ketiga yang segera masuk ke dalam kereta pengadu sebaik mereka tiba.

“Suspek pertama kemudian menceritakan dia terjumpa batu delima itu di dalam satu bekas ketika mencangkul tanah sebelum suspek kedua mengakui batu tersebut sangat berharga dan ingin membelinya,” katanya.

Tambahnya selepas perbincangan, suspek ketiga bersetuju untuk membeli batu delima itu pada harga RM320,000.

Mispani berkata, suspek pertama kemudian berpakat mengatakan wang hasil jualan itu akan dibahagikan sama rata antaranya, pengadu dan suspek kedua.

“Suspek ketiga kemudian meminta mangsa mendahulukan wangnya dan akan memberikan mangsa RM320,000 selepas itu untuk membeli batu tersebut namun mangsa memberitahu buku akaun banknya ada di rumah.

“Kemudian, suspek pertama dan kedua telah naik kereta pengadu pulang ke rumahnya di Felda Bukit Senggeh namun telah menurunkan kedua-dua suspek di Masjid Felda Bukit Senggeh kerana tidak mahu mengikut mangsa ke rumah,” katanya.

Selepas itu, katanya, mangsa dan isterinya telah mengambil semula kedua-dua suspek di masjid berkenaan sebelum diminta ke sebuah bank di Tangkak dengan alasan urusan di sana tidak sibuk .

“Mangsa kemudian membuat pengeluaran wang keseluruhan berjumlah RM54,500 sementara kedua-dua suspek tunggu di luar parkir dan sebaik wang diperolehi, suspek meminta mangsa membawanya ke kawasan parkir sebuah masjid di Tangkak.

“Selepas mendapat wang itu, suspek pertama telah menyerahkan batu delima berkenaan dan pada masa sama azan Zuhur berkumandang membuatkan pengadu dan isteri mahu segera menunaikan solat,”katanya.

Tambahnya, suspek bagaimanapun memberitahu dia akan menunggu sehingga suspek ketiga datang namun kelibat kedua-dua mereka hilang sebaik pasangan suami isteri itu selesai menunaikan solat.

“Mangsa telah menunggu di situ kira-kira 30 minit sebelum menyedari ditipu apabila mendapati batu delima yang diberikan itu sentiasa menyala walaupun tidak dimasukkan ke dalam air.

“Semasa dalam perjalanan pulang, isteri mangsa menyuruhnya membuang batu tersebut kerana bimbang akan keselamatan mereka sebelum suaminya bertindak membuang batu itu ke dalam sungai di kawasan bandar Jasin,” katanya.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette.