Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – Nama Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menjadi bualan ramai apabila didakwa menjadi calon UMNO bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari di Pahang.

Haslihelmy yang merupakan calon muka baharu berkata, dirinya bersedia untuk menentang bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman atau dikenali Rara.

“Saya sudah bersedia jika diletakkan di kawasan DUN Ketari. Sebagai anak jati DUN Ketari, saya bersedia berkhidmat dan berbakti dikawasan tersebut demi kepentingan pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pahang menjadi DUN pertama dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) setelah pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lalu untuk memohon limpah perkenan baginda bagi pembubaran DUN ke-14.

Negeri kedua yang membubarkan DUN pula adalah Perlis dan diumumkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man berkuat kuasa hari ini.

Pembubaran itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Untuk rekod, Rara memperoleh 9,873 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lau Hoi Keong dan calon Pas, Roslan Md Esa. – MalaysiaGazette