IPT pengajian
Mohammad Shatar Sabran berucap merasmikan Seminar Jaminan Kualiti Dalaman-Luaran (SieQA) 2022 di Bangi, hari ini. (Gambar: Ihsan MQA)

KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan disaran tampil lebih kreatif dalam menawarkan program pengajian dalam usaha meningkatkan imej dan kualiti pendidikan negara di persada global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kini kualiti pengajian tinggi negara berada pada tahap yang baik di peringkat antarabangsa, namun IPT tidak boleh mudah berpuas hati dan perlu terus menggandakan usaha masing-masing.

Katanya, dalam lawatan kerja ke United Kingdom (UK) sebelum ini, pihak kementerian pengajian tinggi UK menyatakan kualiti pengajian tinggi di Malaysia sudah berada pada standard yang baik.

“Jelaslah, pengajian tinggi kita sudah mendapat kepercayaan di luar negara, justeru jenamanya perlu terus diperkukuh menerusi penawaran program yang unik dan kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Jaminan Kualiti Dalaman-Luaran (SieQA) 2022 anjuran bersama Malaysian Higher Education Instituitions Quality Assurance Network (MyQAN), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan disokong oleh MQA, di Bangi dekat sini, hari ini.

Dengan tema ‘Transformasi Jaminan Kualiti Ke Arah Ekosistem Pendidikan Tinggi yang Mampan’, seminar itu turut dihadiri Ketua Bahagian Inovasi Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran UNESCO Thailand, Li Bing Wang; Presiden MyQAN, Prof. Dr. Irfan Naufal Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur SieQA2022 yang juga Naib Presiden UTAR, Prof. Ir. Dr. Goi Bok Min.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kini penawaran program berteraskan pendidikan fleksibel hangat diperkatakan terutama membabitkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan Micro-credentials, justeru IPT perlu merebut peluang memanfaatkannya.

Katanya, dalam konteks micro-credentials, Malaysia menjadi negara kedua tertinggi untuk carian berkenaannya selepas Australia di Google Trends.

“Kelebihan ini perlu dimanfaatkan oleh IPT tempatan untuk menawarkan pengajian tinggi yang bersifat lebih fleksibel bukan hanya untuk pasaran pelajar di negara ini, malah untuk masyarakat antarabangsa.

“Usaha ini mampu menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian mereka seterusnya merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi dalam menjadikan negara ini hab pendidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast