Muhammad Yusoff Mohd Noor

GEORGE TOWN – “Tak boleh bagi keputusan lagi tapi memang UMNO Bahagian Tasek Gelugor minta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua ke Parlimen,” kata Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Pengerusi UMNO Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor akan kekal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Musa yang juga Pengerusi UMNO negeri berkata, nama semua calon telah dihantar kepada pucuk pimpinan untuk dimuktamatkan.

Musa.

“Top 5 UMNO tunggu keputusan pembubaran DUN Pulau Pinang untuk pengagihan calon bagi Parlimen pula, perbincangan mengenainya telah dilakukan.

“Kalau DAP bubarkan DUN kita tak kisah kerana calon semua sudah siap sedia dan jika mereka kekal tak bubar kita akan teruskan dengan calon Parlimen,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Pejabat UMNO Tanjung di sini, malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai jangkaan pengumuman calon, Musa berkata, ketetapan calon bertanding mungkin akan dimaklumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon.

“Khamis depan SPR akan bermesyuarat dan bila dapat tarikh penamaan calon baru kita akan umum.

“Macam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pengumuman dibuat di negeri-negeri tapi kali ini kita belum tahu sama ada kekal cara sama atau pengumuman dibuat di ibu negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette