Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA – Para inovator akar umbi diminta membantu membangunkan platform Inovasi Sosial Negara sebagai usaha menghidupkan semangat Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep dan perkembangan Inovasi Sosial semakin mendapat perhatian.

“Perkembangan inovasi sosial di Malaysia juga amat menggalakkan dan kita turut dapat melihat peningkatan dalam bilangan perusahaan sosial,” kata ketika berucap pada majlis pelancaran Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di Bera, di sini, hari ini.

Tambah beliau, inovasi sosial dapat dipupuk menggunakan pendekatan yang berbeza menerusi pembangunan inkubator (inovasi) sosial seperti program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia dengan menjadikan inovasi di peringkat serantau dan tempatan dijadikan tumpuan.

Datuk Seri Ismail Sabri bersama jemputan sempena Majlis Pelancaran Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera, Pahang di sini pada Sabtu

“Ketidaktentuan ekonomi dunia menjadikan inovasi sosial semakin penting pada masa kini dalam merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

“Ternyata, bahawa inovasi sosial mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa selain dapat mengetengahkan inovasi tradisional sebagai satu punca ekonomi yang berdaya saing,” ujarnya.

Sehingga kini seramai 6,000 inovator akar umbi telah dibantu sejak tahun 2012 melalui pendanaan pembangunan inovasi berteknologi dan automasi, pemilikan paten, bimbingan kapasiti diri, penubuhan syarikat dan ‘diffusion’ produk melibatkan pelaburan kewangan Kerajaan melalui MOSTI sebanyak lebih RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast