Tommy Thomas Ganesan
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melantik peguam, N. Ganesan untuk membantu mengendalikan kes Goldman Sachs kerana ia mungkin mempunyai konflik kepentingan.

Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness dalam laporan yang telah dinyah sulit kelmarin berkata, walaupun tindakan itu mungkin tidak melangkaui kuasa Tommy seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, Ganesan pernah menjadi rakan kongsi di firma guaman yang sama dengannya.

Katanya, tindakan Tommy melantik Ganesan bagi membantu dalam hal-hal berkaitan undang-undang sekuriti, aspek penawaran bon dan merangka pertuduhan terhadap pesalah laku mungkin terbuka untuk dikenakan penelitian mahkamah atau semakan kehakiman.

“Buku berkenaan telah mendedahkan bahawa Tommy dan Ganesan pernah menjadi rakan kongsi. Melihat dari segi hubungan itu, sebagai bekas rakan kongsi, Ganesan dan Tommy boleh dikategorikan sebagai ‘sekutu’ di bawah Akta SPRM.

“Justeru, mungkin terdapat konflik kepentingan apabila Tommy melantik Ganesan untuk melaksanakan tugasan berkaitan kes Goldman Sachs,” kata Pasukan Petugas Khas.

Pasukan itu menambah, walaupun Ganesan menawarkan perkhidmatannya secara pro bono atau tidak menerima bayaran, ia adalah tidak penting.

Katanya, ini adalah kerana ganjaran ditakrifkan secara meluas dalam Akta SPRM 2009 dan ia merangkumi sebarang bentuk ganjaran atau manfaat yang tidak ketara.

Pasukan Petugas Khas turut bertanya sama ada pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara (ADC) tidak cukup cekap untuk membaca fail-fail berkaitan pasaran modal dan merangka pertuduhan berkaitan sehingga menyebabkan Tommy terpaksa melantik Ganesan.

“Pasukan Petugas Khas juga tidak dapat menentukan sama ada prosedur-prosedur kerajaan dipatuhi dalam pelantikan Ganesan oleh Tommy.

“Kami juga tiada maklumat sama ada Ganesan dibayar atas perkhidmatannya dan jika dibayar, berapakah jumlah yang digunakan dari dana kerajaan,” jelasnya.

Pasukan tersebut juga mengesyorkan agar pihak berkuasa menyiasat sama ada maklumat rasmi diberikan kepada Ganesan dan yang masih dalam pegangannya di mana perkara itu bercanggah dengan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi dan/atau Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette