Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

IPOH – Parti Gerakan akan menampilkan lebih 80 peratus muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, perkara itu telah ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan Pusat bagi memberi peluang kepada calon baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta berbilang kaum, pengalaman dan mampu diterima rakyat.

“Calon Gerakan terdiri daripada mereka yang boleh menang dan disukai rakyat serta pasukan ini diyakini mampu menjadi pencetus perubahan untuk membawa harapan baharu kepada  Perikatan Nasional (PN).

“PRU15 kali ini amat penting bagi Gerakan dan calon-calon boleh menang ini mampu menyumbang kepada kemenangan PN kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lau berkata, pembahagian kerusi melibatkan komponen PN khususnya Gerakan hampir selesai dimuktamadkan.

“Kita juga menyasarkan akan bertanding lebih daripada tiga kerusi Parlimen malah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah selesai perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pusat Gerakan serta menunggu keputusan daripada Majlis Tertinggi PN.

“Kerusi tradisi iaitu Parlimen Taiping dan Teluk Intan bukanlah menjadi perkara utama pada PRU15 kali ini tetapi siapa pun calon bertanding mewakili PN, kita akan pastikan kemenangannya,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat petang ini. – Bernama