Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SUNGAI BESAR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa UMNO merupakan parti yang suka mengadakan pilihan raya.

Beliau memberi alasan, beberapa pilihan raya yang diadakan sebelum ini seperti di Johor dan Sabah juga dicipta oleh UMNO.

Katanya, UMNO tidak perlu menuding jari kepada pihak lain berhubung perbelanjaan besar yang akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan kerana parti itu sendiri suka mencipta pilihan raya.

“Belanja besar telah berlaku kerana sebelum ini UMNO telah create pilihan raya di Johor di Sabah dan juga tempat-tempat lain.

“Jadi, tak payah kutuk orang lain dengan kata perbelanjaan yang besar. Penciptaan pilihan raya di Johor juga merupakan satu usaha meningkatkan perbelanjaan SPR,” katanya pada sidang media selepas Majlis Jelajah Selangor Penyayang di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) ‘tamak kuasa’ susulan enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri ditadbir gabungan itu.

Zahid mendakwa, PH enggan menyerahkan hak dan mandat kembali kepada rakyat kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

Oleh itu, PH sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir dengan perkara itu.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan mengenai tujuan program hari ini yang didakwa kerana bimbang dengan aura Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikhabarkan menjadi calon kawasan Sungai Besar, Amirudin berkata, beliau tidak pasti Menteri Kewangan itu bertukar hasrat bertanding di Sabak Bernam.

“Saya dengar kuat di Kuala Selangor, ni Sabak Bernam. Kuala Selangor dah lama kita buat dah (program). Jadi, saya tak pastilah kalau Tengku Zafrul nak bertanding di sini.

“Adakah ini maklumat terbaharu, boleh saya rekodkan. Saya tak taulah, itu terpulanglah kekuatan masing-masing.

”Tapi kita yakin Pakatan Harapan masih mempunyai peluang yang cerah untuk menang kerusi di Selangor, Parlimen dan DUN nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette