Beberapa anggota polis cuba menyuraikan penyokong Muda yang hadir mendengar ceramah Syed Saddiq selepas diganggu sekumpulan anak muda lain di Muar, Johor malam tadi.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ekoran gangguan sekumpulan anak muda dalam program ceramahnya di Muar, Johor malam tadi.

Beliau dengan nada marah menuduh UMNO, BN menggunakan taktik kotor dengan tujuan untuk menakut-nakutkan beliau dan pengikutnya.

“Kamu ingat kami takut? Kami (akan) lawan kamu. Saya tak ada masa nak lawan dengan mereka kerana saya di sini nak tengok orang Muar, bukan nak biarkan mereka susah dan sengsara.

“Ini biasalah taktik UMNO dan BN. Kepada anak-anak muda di luar sana jangan jadi pencacai. Ini negara kita…,” katanya dalam suara tersekat-sekat kerana berlaku kekacauan ketika beliau menyampaikan ucapan.

 

Ceramah Syed Saddiq Diganggu Mat Motor

Ceramah Syed Saddiq Diganggu Mat Motor.

#PRU15
#Malaysiagazette

Posted by Malaysia Gazette on Sunday, October 16, 2022

Beberapa anggota polis yang berkawal di program itu cuba menenangkan keadaan dan meminta anak muda dari kumpulan tertentu supaya meninggalkan tempat itu.

Ceramah politik itu turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Bagaimanapun, ketika dua pemimpin berkenaan menyampaikan ucapan, keadaan lancar dan tenang tetapi tiba giliran Syed Saddiq, suasana mula bingit dan huru hara dengan laungan ‘penipu’, yang merujuk kepada Ahli Parlimen Muar itu.

Walaupun keadaan agak kelam kabut, Syed Saddiq masih meneruskan ucapannya tetapi lebih kepada mengecam kumpulan anak muda yang didakwanya diupah UMNO dan BN itu.

“Apabila tak boleh nak lawan secara hujah, inilah cara mereka. Jika kamu ingat boleh diamkan kita dengan motosikal, silaplah.

“Kita akan lawan dengan debat. Itu semangat sebenar anak Muar,” katanya. – MalaysiaGazette